Sejarah Sekolah

Bangunan sekolah ini terdiri daripada dua blok tiga tingkat. Ianya terletak di kedudukan yang strategik dan dibangunkan dalam kawasan 10 ekar. Terdapat juga bangunan pelengkap iaitu sebuah kantin dan rumah pam (Pencegah Kebakaran) selain daripada kemudahan-kemudahan yang jarang didapati di sekolah lain.

Awalnya sekolah ini diberi nama Sekolah Kebangsaan Triang 2. Atas permintaan penduduk setempat yang disokong oleh pertubuhan politik dan sokongan kuat PIBG, maka diluluskan pertukaran nama kepada Sekolah Kebangsaan Sri Buntar pada 19 April 1996.

Jaraknya kira-kira 4 km dari bandar kecil Triang. Sekolah ini mula beroperasi pada 16 April 1994 (Sabtu). Empat orang guru telah ditugaskan yang diketuai oleh seorang guru besar. Pertambahan guru berdasarkan pertambahan bilangan muridnya. Sekolah ini terdiri daripada dua bangsa iaitu bangsa Melayu dan India.

Pertukaran nama sekolah dirasakan perlu kerana terdapat nama sekolah-sekolah lain yang hampir serupa di dalam daerah ini seperti SK(LKTP) Triang 1, SRJK(C) Triang 1 & 2, SK Kuala Triang dan lain-lain. Sekolah ini sebuah sekolah yang paling hampir dengan bandar di daerah Bera dan wajarlah diberi nama yang paling menarik. Penambahan Sri ada pengertiannya sendiri.

Nama Sri Buntar diambil berdasarkan kedudukannya yang berhampiran dengan sebuah taman perumahan Sri Buntar. Pengasas sekolah yang pertama ialah Encik Rahman bin Mohd Rais yang dilantik sebagai guru besar buat pertama kalinya pada tarikh 16 April 1994. Moto sekolah ialah "ILMU MUTIARA HIDUP". Moto ini menunjukkan betapa penting dan tingginya ilmu itu di dalam kehidupan agar semua warga Sri Buntar memartabatkan ilmu dan sentiasa berusaha untuk menuju kecemerlangan dalam hidup.

Di bidang kokurikulum, pelajar-pelajar Sri Buntar telah banyak menunjukkan kebolehan dan bakat masing-masing sehingga menjuarai beberapa pertandingan yang dianjurkan dan terpilih mewakili sekolah ke peringkat zon, daerah dan negeri Pahang hingga ke hari ini.